Rabu, 27 Ogos 2008

Demi Tugas Perlu Berkorban, Kan?

Akhirnya kursus DeePeeYay dah habis. Dah tamat, dah khatam, tutup buku. Bukak buku baru pulak.

Buku barunya, sekarang ni aku dok melangut kat HQ nak tunggu posting ke mana arah tujunya aku ni. Sama ada akan kembali ke pejabat lama di Pulau Pinang atau perlu ke negeri-negeri lain. Kalau ikutkan kepentingan peribadi aku, nak jer aku mintak balik ke pejabat lama. Tapi aku dah lama sangat kat situ. Nanti tak berkembang plak kerjaya aku, nanti tak bermultiskill plak aku asyik buat kerja yang sama. Tapi family aku kat Penang. Maka backup plannya, kalau aku tak dibenarkan kembali ke pejabat lama, aku nak mintak ke pejabat SDO Penang. Advantage kepada aku sebab family kat Penang dan juga advantage kepada perkhidmatan kerana aku tak pernah kerja kat situ. Atau boss besar sini akan hantar aku ke negeri Kedah?

Mengikut kata pengarah sumber manusia banyak post kosong di empat negeri pembagkang iaitu Penang, Kedah, Perak dan Selangor. Kalau terpaksa juga keluar dari ngeri Pulau Pinang, maka pilihan terakhir aku adalah ke Selangor, kerana Selangor yang paling jauh dengan Penang. Itu pun kalau boss besar nak hantar aku ke Selangor, doakan banyak-banyak aku takkan pergi ke Selangor.

Inilah dilemma kakitangan kerajaan yang bersumpah untuk 'berkhidmat untuk negara' dan menjadi seorang 'saya yang menurut perintah'. Kepentingan peribadi mesti dikorbankan demi untuk negara. Anak bini terpaksa ditinggalkan untuk menyahut seruan tugas dalam perkhidmatan awam.

Sehingga aku tentu akan bertapak di negeri mana, yang sahihnya di negeri pembangkang, Adiooss!!

Jumaat, 15 Ogos 2008

Kawan Lama Pun Tak Kenal?

Kursus aku ni akan berakhir minggu depan. Aktiviti terakhir adalah makan malam dengan KSN. Tak sangka aku boleh jadi mat giat jugak dalam kursus ni sejak akhir-akhir ni. Untuk malam makan malam dengan KSN aku akan menyertai persembahan pasukan gamelan. Tak sangka ek, rupanya aku ada bakat main gendang.. hahaha.

Yang paling tak best. Baru tadi aku kenal sorang budak yang sebelum ni pernah keja satu jabatan ngan aku. Dia yang cakap macam penah tengok muka aku. Lepas 6 bulan baru dia tanya, rupanya betul dia keja satu jabatan ngan aku, cumanya dia di ibu pejabat aku di Penang. Hampeh kan? Habis tu dalam 6 bulan apsal tak tanya? Haha.. nak harapkan aku tanya, macam tunggu buah yang tak gugur lah. Pulak tu, kampung dia kat Air Putih, Penang plak tu, dekat-dekat ngan kampung aku kat Penang... dunia, dunia...

Tak sabar sebenarnya nak habiskan kursus ni....

Rabu, 6 Ogos 2008

Shape Your Words, Shape Your Future

Rumusan Ceramah “Shape Your Words, Shape Your Future”
oleh En Azmi Shahrin

Pengucapan awam (public speaking) yang bagus bukanlah boleh dicapai sehari dua tetapi memerlukan latihan yang konsisten dan berterusan. Perkara penting yang perlu diutamakan oleh seorang pengucap awam (speaker) adalah mengatasi rasa gemuruh dan dapat memberikan ucapan dengan penuh keyakinan dan sebutan yang jelas. Ini perlu supaya semua pendengar dapat memahami apa yang ingin disampaikan oleh seseorang pengucap awam itu.

Empat petua yang perlu diikuti untuk menyampaikan pengucapan awam yang berkesan adalah salah satunya ialah memvariasikan kekuatan suara (volume) dan juga memvariasikan kelajuan pengucapan (speed) mengikut keadaan-keadaan yang bersesuaian dengan apa yang ingin disampaikan. Sebagai contoh, apabila menceritakan sesuatu situasi kecemasan, elok pengucapan itu dilajukan sedikit bagi memberikan pendengar lebih gambaran bahawa apa yang disampaikan itu bersifat kecemasan atau situasi perlakuan yang pantas.

Jika apa yang ingin disampaikan pula berbentuk sedih, maka amatlah wajar suara itu tidak dikuatkan (tetapi tidaklah sampai tidak didengari) dan diucapkan secara perlahan-lahan agar pendengar juga dapat menghayati apa yang ingin disampaikan. Agak kekok jika sesuatu yang sedih diceritakan dengan suara yang kuat dan laju kerana pendengar tidak akan dapat menghayati apa yang disampaikan.

Pengucap awam juga perlu mengelak daripada bercakap terlalu laju agar dapat mengurangkan penongkat kata. Penongkat kata adalah perkataan yang tidak bermakna seperti “er..” dan “em..” yang disebut semasa memikirkan perkataan seterusnya yang ingin diucapkan. Penongkat kata ini selalunya muncul apabila seorang pengucap awam itu bercakap lebih laju daripada berfikir atau menyusun ayat.

Semasa menyampaikan pengucapan awam, seorang pengucap awam perlu berdiri dengan betul agar pendengar dapat menumpukan perhatian kepada apa yang ingin diucapkan dan supaya pendengar tidak rimas dengan gerak geri penyampai. Cara yang berdiri yang betul sewaktu menyampaikan satu pengucapan awam adalah dengan berdiri tegak dan membuka kaki selari dengan bahu. Ini adalah cara berdiri paling ideal semasa menyampaikan pengucapan awam. Tangan seorang pengucap awam pula boleh diangkat seperti dalam keadaan membaca doa iaitu tapak tangan diangkat separas dengan dada.

Dalam keadaan berdiri seperti ini, pengucap awam boleh menyampaikan ucapan dengan selesa dan boleh memberikan isyarat tangan dengan selesa sekiranya perlu.

Satu lagi petua penting dalam memberikan pengucapan awam yang baik adalah dengan memberikan mimik muka yang sewajarnya sewaktu menyampaikan ucapan. Sebaiknya mimik muka sudih diberikan sewaktu menyampaikan satu situasi yang sedih dan mimik muka gembira dilakarkan semasa menceritakan sesuatu yang menggembirakan. Mimik muka yang sesuai boleh menjelaskan sesuatu yang ingin digambarkan oleh seseorang pengucap awam.

Petua terakhir untuk memastikan apa yang diucapkan oleh seorang pengucap awam mendapat perhatian daripada pendengar adalah pandangan mata “eye contact” pengucap awam yang dapat ditujukan kepada semua pendengar. Dengan memandang kesemua sudut dewan atau dengan mengadakan pertemuan mata dengan semua pendengar akan membuatkan pendengar lebih berminat untuk mendengar apa yang ingin disampaikan oleh seseorang pengucap awam.

Namun begitu, mustahil untuk seorang pengucap awam memandang ke arah semua pendengar. Oleh itu, seorang pengucap perlu bijak memandang pendengar. Salah satu cara mengadakan pertemuan mata dengan semua pendengar adalah membahagikan dewan kepada beberapa bahagian. Apabila menyampaikan ucapan, pengucap awam boleh memandang ke suatu arah selama beberapa saat dan mengalihkan pandangannya ke sudut lain pula. Pendengar akan beranggapan bahawa seorang pengucap itu telah menguasai keseluruhan dewan kerana telah melakukan pertemuan mata dengan kesemua pendengar.

Sebagai kesimpulan, pengucapan awam yang baik dan berkesan boleh dihasilkan dengan beberapa langkah iatu dengan memvariasikan kekuatan suara dan kelajuan ucapan, berdiri dengan betul dan selesa, membuat mimik muka yang bersesuaian dengan isi ucapan dan yang terakhir adalah memastikan berlaku eye contact antara pengucap awam dan pendengar. Namun, perkara asas yang paling penting adalah menghilangkan rasa gemuruh terlebih dahulu sebelum memulakan pengucapan awam. Ini dapat dilakukan tidak lain tidak bukan hanyalah dengan membuat latihan yang konsisten dan berterusan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...