Dua tiga hari ini ramai tikus-tikus sibuk dan menyibukkan diri berbahas adakah Mat Indera itu hero atau pengkhianat.
Gua tak mahu fikir susah-susah. Nanti senak kepala hotak. Bagi gua, mana-mana orang yang berjuang mengusir penjajah, maka dia hero. Penjajah ini tidak kiralah British, Jepun atau sesiapa pun. Ini ikut masa.
Yang berjuang menentang penjajah dan konco-konconya sebelum merdeka adalah hero. Yang berjuang dalam hutan bertahun-tahun selepas merdeka menentang Malaya/Malaysia, maka dia ini pengkhianat bagi gua.
Mungkin dia hero di mata sendiri (mungkin sebab pada pandangan dia Malaya/Malaysia masih diperintah oleh penjajah) itu gua tak mahu campur. Nanti senak lagi kepala hotak.
Jadi, sesapa saja yang berjuang untuk kemerdekaan sebelum 1957, di mata gua adalah hero. Tak kira mereka nasionalis atau apa saja, berjuang dengan pena, rundingan atau senjata, asal saja mereka menentang penjajah dan konco-konconya, maka mereka adalah hero.
Selepas 1957, yang tak reti-reti nak keluar hutan, yang dok berperang dengan askar Malaya/Malaysia, maka mereka ini yang sebelum ini hero, telah jadi pengkhianat di mata gua.
Mat Indera ni, dia menentang penjajah dan konco-konconya kah? Atau dia menentang askar dan negara Malaya/Malaysia? Agak-agak kalau dia masih hidup selepas merdeka adakah dia akan terus mengangkat senjata atau akan keluar hutan sambung balik jadi ustaz?
Bukan kita yang menentukan mereka hero atau pengkhianat. Masa/waktu/tahun/zaman mereka itu hidup yang membentangkan jalan buat mereka, menjadi hero atau pengkhianat! Waktu itu, sesiapa yang bergerak menentang British dan konco-konconya adalah hero.
Tok Janggut, Dato Bahaman, Dato Maharajalela, Tok Gajah, semuanya menentang British dan konco-konconya, mereka hero. Mat Indera ini menentang siapa? Herokah dia?
Senak dah, kepala hotak gua senak dah...