Selasa, 3 Mei 2011

Kod Etika Penarik Kereta (Pemegang Permit Ejen Perolehan Semula) Di Bawah Akta Sewa Beli (Pindaan 2010)

Geng,

Mulai bulan Mei Jun 2011 ini, kalau ada sapa-sapa nak tarik kereta lu yang dah banyak bulan tak bayar, mula-mula buat benda nih:

1. Minta penarik kereta tu tunjukkan permit Ejen Perolehan Semula (EPS) dia (berbentuk seperti kad pengenalan, dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan, KPDNKK), IC dia dan surat tarik dari bank. Kalau dia tak boleh tunjukkan, jangan bagi dia tarik. Kalau 5 orang yang datang, 5 orang tu kena ada permit). Pastikan jugak permit tu masih sah, belum tamat tempoh.

2. Kalau berlaku kekerasan semasa proses tu, lu orang jangan lupa buat laporan polis dan aduan ke Pejabat KPDNKK terdekat. Lepas tamat permit dia, jangan harap dapat renew kalau dah ada rekod. Memang tak boleh nak cari makan la lepas nih.

Untuk makluman semua rakyat Malaysia, gua kongsikan kod etika yang perlu dipatuhi oleh semua penarik kereta (atau nama rasminya Ejen Perolehan Semula). Layan~....

-Start-

KOD ETIKA BAGI PEMEGANG PERMIT EJEN PEROLEHAN SEMULA DI BAWAH AKTA SEWA BELI (PINDAAN 2010)


1. a) Pemegang permit (penarik kereta) harus memiliki kad Permit EPS yang sah dan memastikan permit masih dalam tempoh sahlaku semasa menjalankan aktiviti pengambilan semula kenderaan atau barangan. b)Pemegang permit yang terlibat semasa aktiviti pengambilan semula kenderaan atau barangan haruslah pada bilangan yang minima. (kalau datang sepuluh org pun, semua mesti ada kad Permit EPS, kalau bawak geng tak ada permit EPS, sila report polis dan KPDNKK)

2. Pemegang permit harus mendapat keizinan daripada penyewa sebelum memasuki premis persendirian.

3. Pemegang permit haruslah berketerampilan kemas dan mengamalkan sikap profesionalisme semasa menjalankan aktiviti pengambilan semula kenderaan atau barangan.

4. Pemegang permit adalah dilarang menggunakan segala bentuk kekerasan sewaktu proses pengambilan semula dijalankan.

5. Sewaktu proses pengambilan semula dijalankan, pemegang permit harus :

i. Mempamerkan Permit EPS, Kad Pengenalan dan menyatakan lokasi pemunya (biasanya bank) yang akan menerima barangan yang diambil semula.
ii. Memberi masa yang munasabah kepada penyewa untuk memeriksa dan mengeluarkan barangan peribadi kepunyaan penyewa (penyewa ni lu ler bro).
iii. Mengambil gambar dalam dan luar kenderaan atau barangan untuk diserahkan kepada pemunya. (gua sarankan lu pun buat benda ni untuk rujukan masa depan)
iv. Mengeluarkan senarai inventori tentang keadaan barang semasa proses pengambilan semula dijalankan.

6. Proses pengambilan semula perlu dilakukan dengan kehadiran penyewa atau sesiapa yang berkenaan terhadap kenderaan atau barangan tersebut. (kalau tiba-tiba kereta lu kena tarik masa parking kat mana-mana tanpa lu ada masa kena tarik tu, sila report polis) Pencerobohan ke atas premis persendirian tidak dibenarkan kecuali dengan perintah mahkamah.

7. Pemegang permit haruslah membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam selepas proses pengambilan semula selesai dijalankan. Pengecualian hanya diberi bagi situasi tertentu, dimana tempoh masa pelanjutan tidak melebihi 48 jam.

8. Pemegang permit adalah terikat dengan segala undang-undang, peraturan, terma dan syarat, kod etika dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Pengawal (KPDNKK) bagi menjalankan aktiviti pengambilan semula.

9. Pemegang permit hendaklah sentiasa peka dengan sebarang Kod Etika dan Garis Panduan yang dikeluarkan oleh Pengawal (KPDNKK) dari semasa ke semasa.

-End-

Yang italic dan warna merah tu komen gua nak bagi kawan-kawan yang bengap sikit tu faham. Harap lu semua dapat print dah kongsi-kongsikan dengan saudara mara.

Lepas ni Jozan memang tak bleh cari makan nak buat lawak tukang tarik kereta macam gangster dah...

Tapi nasihat ikhlas gua, installment kereta tu jangan lupa bayar tiap-tiap bulan!

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...