Khamis, 18 Januari 2007

Purbawara : Arjuna Sayang Kembang

Berkatalah Si Arjuna kepada Andika tatkala itu, "Andika, pertamanya, kamu perlu berfikiran terbuka. Menerima apa yang mahu hamba perkatakan!"

Si Kembang di sebelah Arjuna menguntum senyum yang bersimpul-simpul. Bersimpul bak tidak akan terungkai lagi. Kembang memang sudah lama menyimpan kesumat di dada. Masakan tidak! Kembang sudah lama melobi mahu menghapuskan Andika. Andika yang selama ini menjadi duri dalam daging kepala rencana-rencana Kembang yang mahu naik mencapai bulan.

Andika yang selama ini dipijak-pijak dan dikuda-kudakan untuk mengejar bulan. Namun Andika bak kata pepatah, umpama lembu. Kembang umpama sapi. Andika yang ditunggang-tunggang namun Kembang juga yang mendapat segala pujian, malah Kembang juga yang menerima senyum manis Arjuna. Dan Kembang semakin bermaharajalela mahu menjadikan Arjuna tunggangannya.

Arjuna berkata lagi, bak syair bunyinya, tapi tidak beritma. Bak gurindam bunyinya, tapi tidak berirama. Arjuna mahu buktikan kepada Kembang bahawa dia masih gagah perkasa. Meskipun rambutnya sudih keputihan, bak jambul belatuk lagaknya, namun Arjuna masih tetap Arjuna: Masih mahu melepaskan panahnya, supaya mengena dada Kembang itu. Arjuna mahu menunjuk perkasa.

Kembang senyum, tersipu dan Arjuna berkata :

  1. Pertamanya saya tidak puas hati dengan awak sebab awak forwardkan maklumat ke ibu pejabat tanpa melalui immediate boss awak. Memang maklumat tu urgent, tapi sepatutnya bagi immediate boss awak tengok dulu..

  2. Keduanya, kontrak awak dah dilanjutkan oleh human resource. Tapi, saya tak puas hati sebab masa awak minta perlanjutan, minta sokongan saya, awak tak datang menghadap saya. Itu yang saya rasa tak puas hati. Sepatutnya perkara yang penting macam ini awak datang menghadap saya, merafak sembah saya...

  3. Ketiganya, saya memang tak puas hati sebab tahun lepas awak ambil cuti tanpa kebenaran saya. Awak memang tak patut buat macam tu....


Andika sudah sudah mahu melayang, kakinya sudah terasa ringan. Namun diinjak-injakkan dan dipasak-pasakkan kakinya ke lantai, supaya tidak terangkat singgah di muka Arjuna.

Arjuna berasa bangga. Hidungnya mula kembang tanpa dapat ditahan lagi. Tidak diketahuinya kaki Andika sudah mahu terbang. Andika cuba menjawab:

"Arjuna, bukannya hamba tidak mahu bersemuka dengan Kembang kerana pekerjaan itu. Tapi Kembang sendiri tercungap-cungap datang berjumpa hamba mahu hamba siapkan pekerjaan itu secepatnya. Mafhumnya, pekerjaan itu perlu cepat siapnya dan disuakan kepada Si Patolga itu!"

"Tentang perkara pekerjaan hamba itu. Seingat hamba, rafak sembah sudah hamba persembahkan kepada kamu. Bukannya hamba menggunakan utusan lain untuk wakili hamba menyusun jari melagukan sembah kepada kamu!"

"Fasal pekerjaan cuti itu pula. Kamu tidak pernah bertanyakan hamba kenapa perlu hamba bercuti. Hamba berkecil hati, kerana sepanjang 36 purnama hamba melakukan pekerjaan ini, cuma sekali hamba bercuti sakit. Dan cuti-cuti yang lainnya, hanya cuti hari raya sahaja yang hamba pohon. Maka amatlah terluka hati hamba bila kamu mencari kesalahan-kesalahan hamba begini. Dan melupakan segala jasa-jasa hamba!"

Arjuna mula terasa tercabar dek kata-kata Andika. Merah padam mukanya, apatah lagi Kembang berada di depannya. Malu rasanya kalau Arjuna tidak dapat membalas perkataan-perkataan Andika di hadapan Kembang.

Maka berkatalah Arjuna, "You ni negatif lah. Tak berfikir positif!

Andika bangun, menghentak-hentak kaki yang terasa begitu ringan sekali. Katanya, "Memang hamba begini!"

Andika berlalu meninggalkan Arjuna dan Kembang yang masih terpinga-pinga. Tidak pernah keduanya melihat Andika marah begitu. Tidak pernah keduanya mendengar Andika meninggi suara. Namun hari ini semuanya dijamu di hadapan mata.

bersambung...

nota: Cerita ini adalah kisah benar. Namun watak diubahsuai bagi mengelakkan sebarang rasa tidak puas hati di kalangan pelaku sebenar. Pengajaran cerita :

  • Si immediate boss (Kembang), kalau anak buah (Andika) buat silap sikit, tegur anak buah direct, dengan hikmah, bukan pergi mengadu dekat boss (Arjuna).

  • Si Arjuna, kalau Kembang ngadu pasal Andika, tanya kedua-dua pihak dulu. Jangan dengar di sebelah pihak Kembang sahaja.

  • Apa guna ayat Arjuna minta Andika berfikiran terbuka jika yang bercakap itu (Arjuna) sudah menganggap orang itu (Andika) bersalah. Terbukti Arjuna telah terlebih dulu tidak berfikiran terbuka.

  • Arjuna sepatutnya memanggil Andika bersemuka tanpa kehadiran Kembang. Barulah Arjuna tidak akan berlaku memihak kepada Kembang.

  • Kembang cuba memburuk-burukkan Andika yang selama ini buat kerja untuk dia. Kalau Andika tidak buat kerja, Kembang pun tidak akan senang.

  • Arjuna mengungkit-ngungkit cerita lama. Arjuna berdendam dengan kesilapan anak buah. Boss apa yang menyimpan dendam dengan anak buah sendiri?

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...