Assalamualaikum semua,
Saya tahu, minggu ini saya jarang meng
update blog. Saya tiada idea dan tiada perkara yang menarik untuk dibincangkan.
Hari ini saya ke
Taman Negara Pulau Pinang bersama rakan-rakan ofis. Oh, kasihan isteri saya kerana terpaksa berada di rumah. Keadaannya yang sedang membawa
baby tidak membenarkan dia untuk aktif. Saya letakkan dulu gambar-gambar semasa lawatan tersebut. Saya akan
updatekan
description untuk setiap gambar selepas tamat konsert akhir Akademi Fantasia 5, dan juga selepas mengetahui keputusan perlawanan akhir Piala FA antara Manchester United dan Chelsea.
=========================
Keputusan Akademi Fantasia & Piala FA=========================
Mila berjaya menjuarai Akademi Fantasia musim kelima sepertimana yang saya agak. Dan sepertimana yang saya agak jugak, Manchester United tidak berjaya menawan Piala FA dan tunduk kepada Chelsea hasil daripada gol lewat di masa tambahan oleh Drogba.
=========================
Ok, rasanya bolehlah saya sambung catatan lawatan saya ke Taman Negara Pulau Pinang.
Taman Negara Pulau Pinang terletak di Teluk Bahang, Daerah Barat Daya. Jaraknya dari bandar Georgetown adalah lebih kurung 20 kilometer. Taman negara ini adalah seluas 1381 hektar yang merangkumi keluasan daratan dan lautan yang telah digazetkan. Taman negara agak unik kerana dalam kawasan taman negara terdapat tanah-tanah milik persendirian, seperti tanah Boon Siew di Teluk Duyung
(atau lebih dikenali sebagai Monkey Beach) dan juga tanah persatuan pengakap di Pantai Pasir Pandak.
Pagi tadi, kami seramai lebih kurang 50 orang telah berkumpul sejak jam 8 pagi di kawasan letak kereta pejabat perikanan. Semua perlu berkumpul dahulu untuk buat
headcount sebelum bertolak memasuki kawasan taman negara. Seperti biasa, ada juga yang lewat sampai, dan yang disambut dengan kompang
(lambat sampai) adalah tidak lain dan tidak bukan Encik Mohd Rizal.
(mamat ni apa-apa jer mesti lambat... )Selepas sarapan pagi di Pantai Pasir Pandak, taklimat diberikan oleh penguasa taman negara yang menerangkan apakah perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa lawatan ke taman negara. Hari ini kami akan melawat Pantai Kerachut, yang akan memaksa kami memanjat bukit yang dijangkakan dalam dua jam perjalanan. Satu lagi lokasi menarik di taman negara ini adalah rumah api di Teluk Duyung, tapi kami telahpun melawat rumah api tersebut tahun lepas.
(dan tahun lepas saya tercungap-cungap, minta nyawa sebelum sampai ke rumah api.. :razz: ) Jadi untuk lawatan tahun ini kami akan melawat Pantai Kerachut.
Jarak Pantai Kerachut dari pintu masuk utama adalah lebih kurang 2.5 kilometer. Tetapi harus diingat bahawa ini adalah satu pendakian, bukannya jalan melenggang sahaja. Jadi, bagi yang sedikit senior dan tidak larat mendaki, mereka terus ke Pantai Kerachut dengan menggunakan bot. Senang ceritanya, ada dua cara untuk ke Pantai Kerachut: satunya adalah berjalan/hiking dan satu lagi cara adalah dengan bot yang jauh lebih senang dan memendekkan masa.
Sebabkan saya bukan tergolong dalam yang tidak larat berjalan, walaupun tersemput-semput mendaki, tapi saya gagahkan jugak mendaki sehingga sampai ke tempat berehat. Oh, ya! Kami dipecahkan kepada 4 kumpulan semasa berjalan dengan anggota kumpulan seramai 9 orang dan setiap kumpulan ditemani oleh seorang pemandu pelancong alam semulajadi.
Kami jugak sempat mengabadikan sekeping dua gambar berkumpulan ketika berehat sebelum sampai ke Pantai Kerachut. Masa perjalanan mencecah dua jam, dengan menghabiskan sebotol air mineral dan juga satu bar coklat. Air mineral dan coklat amatlah penting untuk memulihkan tenaga semasa dalam perjalanan. Pisang juga boleh menggantikan coklat. Tapi lebih baik bawa coklat sebab kera dalam hutan tak pandai makan coklat.
Kami sampai di Pantai Kerachut dalam pukul sebelas pagi dan sempatlah berehat sejenak dua sementara menunggu dua lagi kumpulan di belakang yang belum lagi sampai. Pantai Kerachut memang dilengkapi tapak perkhemahan, tandas awam, tempat mandi dan juga pos pengawal. Kepada sesiapa yang berminat nak datang, tiada apa yang perlu dirisaukan!
Setelah semua orang sampai ke Pantai Kerachut, kami melawat pusat konservasi penyu. Daripada taklimat, hanya dua jenis penyu yang mendarat di Pantai Kerachut iaitu penyu agar dan penyu lipas. Beberapa fakta menarik mengenai penyu:
- telur penyu akan menetas selepas sekurang-kurangnya 40 hari dan jantina penyu akan bergantung kepada suhu pasir semasa eraman dalam lubang yang telah dibuat oleh ibu penyu.
- penyu betina akan mula bertelur setelah mencapai umur matang kira-kira 30 tahun.
- penyu akan kembali bertelur di pantai tempat ia dilahirkan, dan akan kembali lagi bertelur di situ selepas dua atau tiga tahun sekali.
- walaupun tidak mengawan, penyu betina tetap akan bertelur, tapi telur tersebut tidak akan menetas. Pendek cerita, kena jugak mengawan. Seekor penyu betina perlu mengawan dengan lebih seekor penyu jantan. Ia boleh bertelur, kemudian kembali ke laut, mengawan dan kemudiannya ke pantai untuk bertelur lagi pada hari yang sama.
- daripada 1000 ekor anak penyu yang dilepaskan ke laut, dijangka hanya seekor yang akan hidup membesar dan kembali bertelur.
- jangka hayat seekor penyu boleh mencecah 150 tahun.
Banyak jugak yang kami pelajari tentang penyu semasa lawatan ke pusat konservasi penyu di Pantai Kerachut ini. Tengok sajalah gaya penyelia pusat konservasi yang bercerita sambil menunjukkan aksi penyu merangkak! :lol:
Gambar anak penyu ini adalah penyu agar yang akan dilepaskan ke laut. Setelah menetas, anak penyu boleh bertahan selama 10 hari tanpa makan apa-apa. Tambahan lagi, kalau diberi makan pun, ia tidak akan makan. Oh, kalau anda berminat memelihara penyu, lupakan saja hasrat itu, penyu akan mati setelah berbelas tahun,
(ia tidak sesuai dibela, perlu hidup dalam keadaan semula jadi) selepas anda belanjakan lebih kurang RM30,000 untuk makanannya sahaja setahun.
Selepas sesi lawatan dan pembelajaran pasal penyu, kami kembali ke Pantai Kerachut untuk menikmati hidangan makan tengahari. Menu makan tengahari adalah: BBQ ayam, udang, ketam, daging, sosej, ikan siakap bakar, kerang dan nasi goreng. Untuk mengikis lemak-lemak dan kalori daripada menu tadi, kami dihidangkan dengan air sirap limau.
Selepas makan tengahari dan solat zohor, kami menaiki bot ke Kuala Sungai Pinang yang terletak di selatan Pulau Pinang untuk melihat hutan paya bakau yang merupakan salah satu produk
agro tourism di Pulau Pinang. Untuk sampai, bot akan melalui kawasan Pantai Acheh. Apa yang ada di hutan paya bakau? Kami dapat melihat burung-burung helang dan juga sarangnya, dan juga dapat melihat biawak batik yang besar-besar.
Setelah selesai melawat Kuala Sungai Pinang, kami balik ke Teluk Bahang. Kami perlu melalui satu kawasan tanjung yang dikenali sebagai Tanjung Pucat Muka. Kawasan ini adalah pertembungan ombak dan bergelombang besar yang boleh memucatkan muka. Tambahan pula, kalau dilihat ke darat, akan ternampak satu batu besar yang menyerupai kepala buaya yang sedang turun ke laut untuk menerkam, memang pucat muka!
Kami sampai ke jeti di Teluk Bahang pada pukul 5.30 petang dan berjaya menamatkan lawatan kami dengan menimba sedikit ilmu pasal penyu, ilmu pasal hutan dan ilmu pasal paya bakau. Yang lebih menariknya, pakej seharian ini hanya dengan bayaran RM90,
all included: tambang bot, makan dan lain-lain.
Sesiapa yang berminat, boleh menghubungi Taman Negara Pulau Pinang!
Sehingga bertemu lagi,~leLabu~