- Dalam berjual beli elok bersifat sempurna, baik perilaku, tidak menganiaya dan sentiasa berlebih kurang. Jangan sekali-kali lokek, terlampau berkira sangat dalam serba-serbi, sebab sifat -sifat murah dan baik itu akan menambah berkat.
- Hendaklah peniaga itu senantiasa menanamkan perasaan ingin untuk mendapatkan keredhaan Allah dengan cara mengeluarkan zakat harta perniagaannya sebanyak 2.5%.
- Jangan sampai perniagaan itu melupakan atau melalaikan seseorang daripada kewajipan-kewajipan agamanya, tentang mengingat Allah, sembahyang, haji, berbuat baik kepada ibu bapa, menghubungkan silaturrahim, berlaku ehsan terhadap sesama manusia, menunaikan hak-hak saudara dalam Islam dan hak-hak jiran.
Selain panduan yang disebutkan itu, banyak lagi perkara yang perlu diambil ingatan oleh para peniaga. Biasanya para peniaga sentiasa sibuk, sentiasa hidup dalam angka dan akaun. Pagi, petang dan malam menghitung untung dan rugi, menghitung wang keluar dan masuk.
Nabi (saw) bersabda: Maksudnya: "Peniaga yang benar lagi amanah bersama-sama para nabi, orang-orang yang benar (siddiqqin) serta para syuhada'." (Hadis riwayat Tirmidzi)
Para peniaga yang dikehendaki oleh Allah ialah peniaga yang digambarkan daripada firmanNya:
Tafsirnya: "(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung." (Surah an-Nur: 37-38)
Kesimpulannya, peniaga yang bersama-sama para nabi, siddiqqin serta syuhada' itu ialah:
- peniaga yang tidak dilalaikan oleh perniagaannya,
- sentiasa menunaikan kewajipan-kewajipan agamanya,
- mengeluarkan zakat perniagaan,
- tidak menahan atau mengumpul barang-barang perniagaan untuk dijual dengan harga yang lebih mahal,
- tidak menaikkan harga dengan sewenangnya,
- tidak menipu,
- tidak bersumpah bohong semata-mata untuk melariskan barang-barang jualan; serta
- tidak menjual barang-barang yang tidak halal.
Semoga dengan panduan yang diberikan, para peniaga khususnya, bukan hanya akan memperolehi keuntungan, malahan mendapat rezeki yang berkat dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala.
nota: post ini telah diolah dan disesuaikan (dari segi gaya bahasa sahaja) daripada Web Jabatan Mufti Kerajaan Brunei yang berdasarkan buku Irsyad Hukum 1995, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam. Rasanya Jabatan Mufti Brunei tidak berkira sangat, kerana ilmu (dan segala makhluk) itu adalah hak cipta mutlak Allah.
Berniaga berniaga jugak ibadah jangan dilupa.... saya menasihati diri saya sendiri.
BalasPadam