Rabu, 21 Januari 2009

Jalan Nak Kaya Ada Tiga...

Semua orang mahu jadi kaya. Dan menurut petua abang aku, ada tiga cara untuk kamu menjadi kaya. Satu, kamu dilahirkan dalam keluarga kaya. Dua, kamu berkahwin dengan orang kaya. Dan tiga, kamu menyertai multi level marketing (MLM).

Mungkin petua abang aku itu betul, mungkin juga tidak.

Multi Level Marketing

Ada ahli keluarga aku mula terpengaruh dengan hasutan penjual produk MLM. Produknya sangat mudah, kopi. Kopi tadi dibungkus elok-elok, dikotakkan dengan cukup lawa, dan dijual dengan harga RM280 untuk 12 sachet. Dikatakan kopi ini dapat menghilangkan pelbagai penyakit, sangat berkhasiat. Disebabkan itulah, secawan kopi ini dikatakan berharga RM23.

Itu semua karut marut taukeh MLM!

Adik beradik MLM adalah skim cepat kaya dari mazhab skim piramid.  Skim cepat kaya ini adalah haram kerana ia adalah aktiviti penipuan yang menindas peserta terakhir yang menyertainya. Bila sudah tepu, dari mana lagi akan datangnya duit?

Modus Operandi Skim Cepat Kaya

Norman Hakim (bukan nama sebenar) akan menjadi kepala. Norman memerlukan sepasang downline. Maka Norman merekrut Abby Abadi (bukan nama sebenar) dan Memey Suhaiza (bukan nama sebenar). Untuk menjadi downline Norman, Abby dan Memey perlu membayar RM100 seorang. Dalam masa sebulan, janjinya Abby dan Memey akan mendapat pulangan RM10 daripada seorang downlinenya.

Norman sudah mendapat RM200 daripada downlinenya Abby dan Memey. Jika Norman merekrut lebih ramai downline, maka banyak lagi yang Norman akan dapat.

Abby dan Memey pula, untuk dapatkan balik harga modal RM100 mereka tadi, akan merekrut downline pula. Lagi ramai, lagi bagus. Setiap downline perlu membayar RM100 kepada Norman. Daripada seratus itu, RM10 diberikan kepada Abby dan RM10 lagi diberikan kepada Memey.

Downline Abby dan Memey perlu pula mencari downline untuk mendapatkan kembali modal RM100. Begitulah seterusnya sehinggalah sudah tiada yang mahu menyertai skim tersebut. Sudah tepu. Maka peserta yang paling akhir menyertai tidak akan dapat mencari downline dan hanguslah wang RM100 tadi.

Norman akan kaya, Abby dan Memey akan kaya kerana mereka orang yang awal menyertai.

Modus Operandi MLM

Semuanya sama seperti di atas. Tapi kali ini peserta tidak membayar kepada Norman RM100 tapi perlu membeli kopi (atau produk lain) daripada Norman yang berharga RM280. Sebenarnya harga kopi tadi hanya RM50 sahaja. Duit yang selebihnya akan menjadi keuntungan Norman.

Jika Abby dan Memey berjaya mencari downline, maka RM280 akan dibayar kepada Norman dan kopi diberikan kepada peserta. Abby dan Memey akan mendapat RM10 daripada hasil jualan kopi itu.

Begitulah seterusnya.

Kalau skim cepat kaya memerlukan peserta membayar tunai, MLM pula memerlukan peserta membayar dengan cara membeli kopi yang mahal itu.

Norman mendapat dua punca keuntungan. Satu daripada hasil jualan kopi dan satu lagi daripada yuran peserta (yang dimasukkan sekali dalam harga kopi).

Ringkasnya, MLM ini adalah sama seperti skim cepat kaya. Cuma MLM ada produk yang dijadikan sandaran (dengan harga jualan yang melampau-lampau) dan skim cepat kaya tiada produk sandaran.

Produk Kesihatan

Biasanya produk yang menjadi sandaran adalah produk-produk yang kononnya mempunyai khasiat untuk kesihatan. Siapa mahu membeli kopi dengan harga RM280? Tetapi bila dikatakan kopi tersebut boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dan dengan sogokan komisen jika mencari downline, pastinya ramai yang akan membelinya.

Produk kesihatan dipilih kerana keberkesanan produk ini tidak dapat dilihat dengan cepat. Kalau jual bateri contohnya, pasti dapat dilihat keberkesanan bateri dengan hanya memasang lampu picit. Sebab itu tiada MLM yang menawarkan produk bateri yang bertahan sebulan contohnya.

Jual Barang Dapat Komisen, Jana Downline Dapat Komisen

Ramai menyertai MLM kerana faktor komisen yang lumayan. Tanpa mereka sedari, mereka menipu pelanggan dengan menjual produk yang sebenarnya produk biasa. Dan mereka juga tidak sedar mereka menindas pelanggan dengan menjual dengan harga yang melampau.

Juga, komisen mereka dapat hasil daripada titik peluh downline juga tidak tentu halalnya. Sepatutnya, hanya downline yang mendapat komisen bila dapat merekrut ahli baru dan menjual produk, sebab itu hasil usahanya. Kenapa pula uplinenya mendapat komisen juga sedangkan uplinenya tidak berusaha pun. Ada pendapat yang mengatakan sumber pendapatan begini dikira menindas downline dan hukumnya haram.

Akhirnya aku menyedari bahawa betul petua abang aku. Salah satu cara untuk menjadi kaya adalah menyertai MLM.

Memang boleh kaya. Tapi adakah kekayaan itu halal? Kita asyik melihat halal haram daripada apa yang kita makan. Tapi tidak pernah melihat sumber kewangan kita adakah caranya halal atau haram. Sebelum aku menyertai mana-mana MLM, aku mahu lihat, adakah MLM itu mempunyai sijil halal.

Bila sumber haram, maka tiada lagi keberkatan dalam rezeki itu. Patutlah kebanyakan peserta MLM yang kaya-kaya, yang pernah aku kenali sangat kedekut. Rupanya rezeki mereka tiada kaf-ba-ra-kaf-alif-ta-nun. Mereka takut berbelanja kerana takut duit mereka habis... heheh.

Oh, jika kamu tidak kisah dengan halal haram, aku sarankan kamu memulakan syarikat jualan langsung berkonsepkan MLM dengan menjual belacan dengan harga RM200 seketul. Pasti akan ada yang terpengaruh dan membelinya.

Belacan ini sangat berkhasiat. Ia dapat menguatkan tenaga batin dan memberikan tenaga sepanjang hari. Ia juga boleh mengubati penyakit sengau, resdung dan penyakit-penyakit hidung yang lain. Aku boleh membekalkan belacan ini. Penang maiii...

Ada berani?

p/s: Kakitangan awam dilarang menyertai skim cepat kaya. Oleh itu, lebih baik kakitangan awam juga menjauhkan diri dari MLM yang seibu sebapa dengan skim cepat kaya ini.

6 ulasan:

  1. cheh, benda ni aku dah tulis dulu dlm blog aku. MLM = Mai La Masuk

    BalasPadam
  2. Menarik artikel ni. Untuk hal ini, saya ingin berkongsi juga sedikit sebanyak info bersama rakan-rakan yang lain; iaitu thread yang ada di pautan berikut :) :

    http://www.wangcyber.com/forum/sembang-umum/2800-halusi-hukum-mlm-sebelum-ghairah-melabur.html

    Maaf, sekadar ingin membantu. Nampaknya, blog ini tiada kotak pendaftaran emel untuk sebarang pengemaskinian blog. Apa kata, adakannya. Sedikit panduan mungkin; pada pautan berikut :) :

    http://rahsiablogger.com/tips-blog/subscription-rss-melalui-email/

    p/s: Sekadar ingin membantu.

    p/p/s: kalau URL yang saya sertakan tidak betul, sila bantu ya. Thanks. :)

    BalasPadam
  3. dpt berita cik yah pong dah mula berjinak2 'nak jadi kaya'.. hehehhe.. x nak paste kat sini ker bisnes cik yah tu.. kot2 kwn2 buleh bantu mengembangkan bisnes

    BalasPadam
  4. multi-level marketing can really give you lots of profits if done right"~`

    BalasPadam
  5. when you engage in a multi-level marketing, you can actually become a millionaire in such a short time ``

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...